Friday, May 18, 2012

Kuasa Al Quran Dalam Menyerap Ilmu Lain Pada Kanak-Kanak

Saya telah melihatnya.. Saya telah mengalaminya..

Kebanyakkan ibubapa, takut anak tertinggal di belakang bila dia masuk ke sekolah nanti, maka sejak dari bayi lagi, kita mula nak kenalkan ABC dan 123.. Kita mula memenuhkan tempat bermainnya dengan educational toys untuk tujuan memperkenalkan huruf dan abjad. Kalau ibu dan bapa bekerja, maka toys berjenama mahal lah yang dibeli. Jika seorang sahaja, maka jenama biasa-biasa sahajalah tetapi tetap ada. Kita berkata dalam hati, al Quran itu 'nanti-nanti' pun boleh. Lagipun.. mana ada ujian al Quran bila dia masuk sekolah rendah nanti. Dah besar sikit, hantar sahaja mengaji dengan ustaz/ustazah di belakang rumah tu. Itu mentaliti ibu-ibu yang seangkatan dengan zaman saya dahulu. Rakan-rakan saya semunya begitu. Alhamdulillah kerana sekurang-kurangnya mereka ada inisiatif untuk mengajar anak mereka dari kecil berbanding dengan ibu-ibu zaman 'ibu saya' yang tidak terfikir tentang pendidikan awal bayi. Apapun.. besar panjang juga kita-kita ini.

 Zaman telah berubah, kita tidak boleh melakukan perkara yang sama. Tetapi ada satu yang tidak patut untuk berubah. Iaitu.. mengajar al Quran dari bayi mengikut contoh ibu-ibu zaman kegemilangan Islam dahulu. Saya telah rasa dan mengalaminya.. Alangkah baiknya jika semua orang tahu akan kuasa al Quran pada anak mereka jika ianya diajar dari bayi lagi. Terus terang saya katakan keutamaan yang saya letakkan pada anak saya adalah menentang arus dari keutamaan ibubapa sekarang yang mahu anak 'excel' dalam persekolahan mereka terutamanya. Saya mengajar al Quran dahulu.. yang lain saya kemudiankan. Umur anak-anak saya mahu menginjak hampir 5 tahun baru saya mula mengajar membaca dan mengira. Itupun setelah berfikir.. apa salahnya ajar samping-sampingan. Oleh kerana sudah niat dihati ia diajar 'samping-sampingan' maka tidaklah saya konsisten. Apa keputusannya? Kedua-dua anak saya sudah pandai membaca bahasa Inggeris. Darwisya pula sudah peringkat boleh membaca Science Encyclopedia dalam Bahasa Inggeris. Matematik.. keduanya boleh melakukan operasi matematik yang lebih rumit jika dibandingkan peringkat umur mereka. Saya kata lebih rumit dari umur mereka kerana saya telah melihat buku teks darjah 1 dan darjah 2 anak buah saya. Maka saranan saya, bagi mereka yang punya anak kecil, mulakan dengan al Quran. Ada juga pembaca blog ini yang anak mereka telah dewasa dan jika manalah tahu satu hari Allah kurniakan seorang anak kecil lagi, cubalah ajar yang sikecil comel itu al Quran. Kita akan lihat perbezaan dia dengan anak-anak yang besar tadi. Dia akan lebih terang hati menerima pelajaran lain. InsyaAllah.. Ok, mari kita saksikan 'hasil kerja' saya mengajar anak saya membaca Bahasa Inggeris dalam video ini..



 

Monday, April 9, 2012

Perjalanan Yang Masih Jauh

Alhamdulillah, setiap hari ada saja pembaca baru yang budiman yang mengirimkan ucap tahniah samada melalui emel mahupun di facebook saya. Setiap kali saya menerima ucapan ini, saya bertanya kepada diri sendiri.. Adakah aku layak untuk menerima perkataan itu? Tahniah adalah jika sesuatu itu sudah menempa kejayaan. Tetapi saya jauh lagi dari berjaya. Perjalanan saya dan anak-anak saya masih sangat jauh. Semoga saya dikuatkan semangat dan semoga Allah terus memberikan hidayahNya kepada saya dalam membentuk anak-anak saya. Jika tidak kerana hidayahNya.. saya yang tiada latar belakang pendidikan agama dan bukan dilahirkan dari keluarga yang 'kuat agama' bersuami pula dengan suami yang berpendidikan barat, MUSTAHIL untuk melahirkan anak yang 'beracuan' seperti yang sedia ada. Namun Allah s.w.t punya rancanganNya sendiri.

Dengan rasa rendah hati, saya meminta sesiapa yang terasa dan teringin menekan keyboard untuk mengirim perkataan itu kepada saya, simpanlah ia.  Gantikanlah ia dengan DOA supaya anak-anak kita sama-sama berjaya di dunia dan diakhirat nanti. InsyaAllah semoga kita diberi rezeki untuk memberi salam dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain di sana nanti.

Selamat membaca blog perkongsian saya ini untuk langkah-langkah mendidik anak sendiri dengan al Quran. Ia sebenarnya mudah.. cuma perlu konsisten untuk mendapatkan hasilnya. Jika ada yang menginginkan perkongsian secara terus dan berdepan, saya jemput ke kursus yang saya adakan dibawah

Mengajar Al Quran Pada Bayi & Kanak2 ( Peringkat Asas)      -  5 jam
Mengajar Al Quran Pada Bayi & Kanak2 (Peringkat Lanjutan)  -  5 jam

Video dibawah adalah panduan peringkat-peringkat saya mengajaranak lelaki saya, Darwish Adrian dari bayi. Ianya adalah jalan yang sama bagi kakaknya juga (Darwisya). Semoga video ini memberi serba sedikit idea untuk pembaca mengajar anak sendiri.




Video dibawah pula adalah video kelebihan surah Ar Rahman yang dibacakan oleh Darwisya Adrianna berumur 5 tahun. Mengikut para penghafal al Quran, surah Ar Rahman adalah antara surah yang sukar dalam banyak-banyak surah kerana perkataan yang sama diulang sebanyak 31 kali menyebabkan ianya mengelirukan. Namun ia tidak mustahil untuk dihafal oleh mana-mana kanak-kanak. Dibawah adalah buktinya..

Friday, February 17, 2012

Darwish dan Sijil Hafazan 30 Surah terakhir pada umur 3 Tahun dan Nasihat Untuk Ibubapa Diluar sana

Alhamdulillah.. anak saya yang kedua, Darwish Adrian yang berusia 3 tahun 9 bulan menerima Sijil Hafazan 30 Surah Terakhir dari Pengetua Akademi Darul Huffaz, Al-Fadhil Ustaz Lokman Shazly Al-Hafiz Al-Maulawi Bin Dato Seri Zaharin. Kakaknya, Darwisya Adrianna juga menerima Sijil yang sama dari Akademi yang sama pada umur 3 tahun 2 bulan. Alhamdulillah, kedua-dua anak saya, seorang lelaki dan seorang perempuan menerimanya pada usia muda mereka. Saya percaya semua kanak-kanak boleh melakukannya jika ibubapa punyai usaha mendedahkan mereka dengan al Quran lebih awal.



Alhamdulillah juga kerana nak dicantikkan ceritanya, TV9 menjemput anak-anak saya untuk merakamkan hafazan kedua-duanya dalam satu program mereka yang akan di buat ala-ala tom-tom bak dengan pengacaranya adalah seorang penceramah agama yang terkenal iaitu Dato' Abu Hassan Din Al Hafiz. Kita selalu tengok Dato' ni kalau bercakap mesti sentuh topik yang serius, tapi kali ni dia bersedia untuk 'tone down' sikit... akan bergurau senda dengan kanak-kanak, berlakon dan sebagainya! Serba boleh rupanya Dato' ni! Dengar khabar baju-bajunya pun dah dipilih ikut tema modern. Sekadar memaklumkan, anak saya cuma dalam bahagian membuat persembahan dan bukannya antara kanak-kanak  yang  konsisten berada di dalam setiap episod tu. Mereka minta supaya anak saya jadi pelakon yang duduk sekali jadi cucu atuk supaya ada kesinambunganlah selepas buat persembahan tu, tetapi saya bimbang anak saya jenis yang belum boleh dengar cakap lagi. Maksud saya kalau suruh duduk, memang mereka akan duduk.... tapi sekejap jelah! Lepas tu entah kemana-mana nanti. Haru biru rancangan tu! Maka  anak saya cuma buat persembahan sahaja selepas tu balik. Itulah rancangan saya sendiri..

Berbalik kepada mengajar anak, ada banyak trial and error yang saya gunakan untuk anak saya dua orang ni. (macam bahan uji kaji lah pulak bunyinya). Ada perkara yang saya rasa perlu dijadikan pengajaran untuk semua ibubapa dalam mendidik anak-anak. Iaitu, kita jangan ingat anak kita yang keluar dari rahim yang sama, duduk didalam rumah yang sama, diajar benda yang sama, makan yang sama dan sebagainya akan mempunyai perangai, kelakuan dan cara belajar  yang sama. Tidak sama sekali.

Kedua dua anak saya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jika dilihat dari mata kasar memang Darwish lambat dari Darwisya tetapi yang sangat menarik tentang Darwish adalah setiap kali dia mengaji dia akan duduk bersila seperti seorang penuntut yang baik yang sedang mengadap tuan gurunya. Sedangkan Darwisya gayanya adalah agak lebih santai. Walaupun saya tidak pernah menetapkan jika mahu mengaji mahu duduk gaya seperti mana, tetapi saya memerhatikan keduanya dengan penuh minat. Apapun saya berharap ibubapa diluar sana jangan jadi kan anak pertama sebagai batu ukur untuk pencapaian anak kedua. Ada ramai ibubapa yang selalunya membandingkan antara anak-anak mereka dan yang lebih teruk lagi membandingkan anak mereka dengan anak orang lain. Itulah yang akan membuat kita stress semasa mengajar dan seterusnya anak kita juga akan merasai bahang stress tersebut. Dulu saya hampir melakukan kesilapan tersebut. Dengan meletakkan target pada anak, saya dapati kita akan jadi stress. Dan itulah yang menghalang kreativiti kita dalam mengajar mereka. Kanak-kanak jika terlalu dipaksa nanti tidak suka mengaji pula. Dari mengharap/mengimpikan anak kita melakukan perkara yang diluar kemampuannya, elok kita slow n steady je.. 

Itu perbezaan dari segi pencapaian belajar mengaji, dalam perkara lain juga mereka banyak bezanya. Jika disekolah pula (Modern Arabic International School) Darwish kelihatan unfriendly, Setiap pagi bila masuk kelas, oleh kerana free seating, dia akan mencari tempat yang tiada orang, dan kawan-kawan Arabnya yang akan mendekatinya untuk duduk bersamanya. Anak perempuan saya Darwisya pula adalah sebaliknya pula. Dia pula suka mencari kawan arab favouritenya dalam memilih tempat duduk (biasala orang pompuan suka dok ngan kengkawan sekepala).  Walaupun begitu Darwish lebih ramai 'peminat'. Bila saya mahu membawanya pulang, selalunya akan riuh rendahlah satu kelas yang hampir kesemua kawan berbangsa Arabnya itu melambainya dan ada yang memegang tangan saya tidak mahu membenarkan dia diambil pulang, tetapi bila saya mengambil anak saya Darwisya pula, keadaan kelihatan normal atau kelihatan seperti yang sepatutnya. Kadang-kadang rasa macam artis le pulak si Darwish ni. (Bila saya belek-belek dia takdelah apa yang spesel nya pun!). Itulah sebahagian perbezaan antara kedua anak saya. bak kata ibu saya, itu baru dua orang!.. Kalau 8 orang macam mak ni, lagi macam-macam ragam anak yang ada. Saya pun senyumlah sahaja mendengarnya.

Kesimpulan yang saya ingin sampaikan kepada ibubapa diluar sana, terima kekurangan dan kelebihan anak kita seadanya dan jangan membandingkan antara mereka. Disiplin tetap perlu ada pada diri kita. Maksud saya, jika saya sendiri tidak disiplinkan diri saya sendiri dalam mengajar mereka setiap hari, mana mungkin mereka boleh belajar dengan sendirinya! Bukanlah maksud saya anak saya asyik mengaji setiap hari hingga dia mampu menghafal banyak surah pada usianya 3 tahun. Tidak sama sekali. Mereka juga seperti kanak-kanak lain. Setiap petang jika tidak hujan, pasti bermain diluar rumah/padang permainan kanak-kanak. Bila dirumah pula aktiviti mereka tidak terhad. Bermacam-macam aktiviti mereka mengikut apa yang mereka suka termasuklah menonton TV dan bermain game.

Tentang aktiviti riadah mereka, saya sangat mengimpikan anak-anak saya mahir berenang dalam sekurang-kurangnya 2 gaya renang. Bukan nak masuk sukan olimpik atau sukan sea tetapi kerana banyak kelebihannya jika mereka pandai berenang. Kita sudah lama tahu akan hadis  '“Ajarlah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Tetapi kenapa aktiviti-aktiviti ini yang dipilih? Mari kita kupas satu sahaja dulu.. kenapa perlu ajar anak kita berenang. Ia adalah untuk  melatih brain-body coordination. Mengikut kajian ada banyak chemicals yang terlibat ketika aktiviti renang. Untuk maklumat lanjut, boleh ke google Human Brain Function During Swimming .

Swimming Coach Darwish n Darwisya Teacher Nadia
sedang mengajar koordinasi tangan yang betul

Kakak Darwisya pergi dulu.

Darwish pula

Kemudian dua-dua bersama Teacher Nadia

Thursday, October 20, 2011

Nak Ajar Anak Yang Mana Dulu?

Semalam saya menerima 3 emel bertanya kalau anak asyik nak ajar baca Quran, hafal Quran, bagaimana pula tentang pelajaran lain? Setiap emel tidak sama tetapi kesimpulan pertanyaan begitulah bunyinya..

Bukan itu sahaja, malah saya yang tak pernah masuk forum terjumpa pula forum yang membincangkan tentang isu yang sama. Kalau nak join forum tentang ni boleh jenguk http://mforum.cari.com.my/viewthread.php?tid=603367&extra=page%3D1

Hairan saya.. Kenapa hari yang sama? Saya rasa Allah mahu saya berkongsi perkara yang tidak penting bagi saya tetapi mungkin penting bagi orang lain..

Baiklah.. saya ingin kongsikan pengalaman saya memdidik anak saya setakat ini. Belum besar lagi pun mereka tu, maka tak dapatlah saya berkongsi banyak sangat tentang isu ini. Seperti yang semua orang tahu, saya hanya fokus mengajar mereka al Quran sahaja kerana saya fikir ilmu lain-lain tu, bila mereka mula bersekolah nanti, boleh belajar dengan cikgu sekolahnya! Sebenarnya saya kata begitu kerana saya yang ‘takde masa’ dan ‘tak sempat’ pun kalau nak ajar semua-semua benda! Tapi rupanya saya silap! Saya terlupa bahawa mereka boleh belajar sendiri. Bukan dari cikgu sekolah dan bukan juga dari saya.. Betul lah kata orang kalau ajar anak Al Quran, hati mereka terang untuk menerima ilmu lain. Saya cuma pasang VCD Phonic 'I Can Read' (boleh beli disini)  dan nak di jadikan cerita, baru-baru ni je (tak sampai sebulan pun) saya mula guide mereka sikit-sikit. Ajar baca guna 'Kaedah Phonic'.

Video-video dibawah ini adalah hasilnya. Darwisya sudah boleh membaca (Alhamdulillah) dan Darwish pula merangkak-rangkak membaca. (bagi saya.. bolehlah tu!)

Video Darwisha Adrianna, tak lama lagi.. umurnya 5 tahun. Dah besar anak mama ni..



Darwish Adrian, umur 3 tahun lebih. Nilah budak yang pelat dulu tu!





Biarlah anak orang lain boleh membaca buku umur 3 tahun, dan anak kita boleh membaca umur 5 tahun sekali pun.. Yang pasti anak kita sudah punyai 2 kemahiran – 

Buku dan Al Qurannya,  Dunia dan Akhiratnya!

Jika seorang ibu mahukan anaknya punya kedua-duanya maka kedua-dua ilmulah akan dibekalkan, jika seorang ibu hanya mahu anaknya mengejar hanya satu dalam erti kata lain salah satu daripadanya sahaja maka hanya satu sahajalah yang anaknya miliki.

"Jika kamu mahu berjaya didunia, hendaklah dengan ilmu.. Jika kamu mahu berjaya di akhirat, hendaklah dengan ilmu dan jika kamu mahu berjaya di kedua-duanya, juga hendaklah dengan ilmu" Imam Shafie

Jadi saya rasa tak perlulah kita berkira-kira macam mana, bagaimana atau yang mana satu nak diajar dulu. Bagi mereka yang masih lagi berkira-kira, nasihat saya, mulakanlah dengan Al Quran. Allah tidak pernah menipu kita tetapi kita yang menipu diri sendiri. Dan saya juga hampir-hampir tertipu!



Wednesday, October 19, 2011

Rahsia Ibu Sultan Mohammad Al Fateh





Alhamdulillah, telah ramai yang dapat menonton ‘Training Slide’ dan ‘Video Semangat Ibu Sultan Muhammad Al Fateh’ yang saya beri secara percuma kepada subscriber newsletter saya pada bulan September yang lepas. (Bagi yang belum mendaftar sebagai subscriber, boleh mendaftar secara percuma di http://www.islamicparentingnetwork.com/lp.html). Pengunaan platform percuma saya telah ditamatkan oleh pihak website mindflash. Dalam ertikata lain, apa yang mereka maksudkan pada saya adalah.. kalau nak guna lagi saya perlu membayar. Oleh kerana itu, Slide n Preview itu tidak dapat saya teruskan. Walaupun begitu,  saya akan tetap berkongsi tips dan motivasi lain didalam newsletter saya dari semasa ke semasa.

Niat saya berkongsi slide tersebut adalah supaya ibubapa diluar sana faham akan ajaibnya takdir tuhan jika kita mempunyai cita-cita dan berusaha kearah mencapainya. Ajaibnya seorang bayi yang yang cuma bayi biasa tapi dibesarkan oleh ibubapa yang bercita-cita besar, tabah dan SABAR dalam mendidik anaknya. Umurnya belasan tahun sudah menguasai 6 bahasa dengan kepakaran bidang ketenteraan, sains dan matematik. Dialah yang berjaya menakluki kota konstatinopal dan teka penaklukannya itu berlaku pada umurnya berapa tahun? Ya, umurnya 21 tahun pada masa itu.



Jika Sultan Muhammad Al Fateh menguasai 6 bahasa pada umurnya belasan tahun, bagaimanakah dengan anak muda masyarakat kita yang sebaya denganya ketika ini? Kebanyakkannya sedang sibuk bercinta monyet, merempit, mencuba apa yang terlarang dan sebagainya. Nauzubillah.. Bukannya ibubapa mereka tidak mempunyai cita-cita dahulu. Tentu mereka juga mahu anak mereka berjaya. Mungkin ada antara mereka ini adalah kanak-kanak bijak. Hebat membaca atau hebat matematik pada umur yang sangat muda. Tetapi..



Ikutilah jejak langkah Ibu Sultan Muhammad Al Fateh.. mulakan didikan anak dengan al Quran.

ITULAH RAHSIA ANAKNYA MENJADI PENAKLUK DUNIA!



Anaknya juga seperti anak orang lain. Suka bermain dan tidak mahu mengaji pada mulanya kerana leka bermain dengan kawan-kawan. Ibunya merelakan anaknya dipukul oleh guru yang dipanggilnya kerana sebab tidak mahu mengaji. Adakah kita secekal itu? Saya sendiri tidak mampu melihat anak saya dipukul oleh orang lain. Saya rasa ibu-ibu lain juga begitu. Kalau kita memukul anak kita sendiri tidak mengapa, tetapi kalau melihat orang lain memukul mereka.. hancur luluh hati rasanya! Itulah yang membezakan kejayaan beliau dengan kejayaan kita. Kecekalannya! Walaupun begitu, kita masih boleh mengadaptasi kecekalannya dengan mengajar anak kita sendiri.. Tabah, cekal dan sabar dalam mengajar anak kita bijak Al Quran, ilmu pertama dalam hidup anak kita!

Bukanlah cita-cita saya menyuruh anak saya menakluk dunia. Dapat menakluk dirinya sendiri pun sudah mencukupi. Apa lagi dalam zaman yang penuh cabaran ini. Dimana selalunya nafsulah yang menjadi raja. Kejayaan itu bermula dengan kita menakluk diri sendiri. Dan untuk melakukannya kita perlu sentiasa beringat akan hari akhirat. Yakinlah, jika kita kejar akhirat, dunia akan datang mendapatkan kita.. InsyaAllah.

Friday, October 7, 2011

Darwish & Darwisya Membaca Hafazan Di Depan 5,000 orang

Pada 26 Jun 2011, Darwish beserta kakaknya telah membacakan hafazannya di depan ribuan orang sempena Majlis Ulangtahun Pusat Pendidikan Al Barakah yang ke-5, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak dengan disaksikan oleh YB Menteri Besar Perak sendiri. Dibawah adalah gambar kenangan pada majlis tersebut.


Darwish dan Darwisya berbual dengan
Menteri Besar Perak, YB Datuk Seri Zambry Abd Kadir
Darwish Adrian di dukung oleh Pengasas Pusat Pendidikan Al Barakah,
Ustaz Muhammad Kazim Elias Al Hafiz
Darwish menjawab soalan yang diajukan kepadanya

Darwish ketika sedang membacakan hafazannya - Surah Al Buruj, At Tariq dan Al A'la



Dianggarkan seramai 5,000 orang yang hadir pada hari tersebut






Tuesday, October 26, 2010

A 3 year Old Girl Replying On The Quran Burning Pastor

Masihkah kita ingat tentang seorang paderi di Florida, USA yang mahu membakar Quran pada ulangtahun pengeboman menara berkembar di New York baru baru ini sebagai simbol protes kepada Islam? Semasa membaca tentang isu ini, saya agak terkejut besar bila saya melihat wajah anak saya dibawah satu tajuk semasa yang agak panas seperti ini didalam dua video youtube! Apa tidaknya... ia satu tajuk yang menjadi isu sensitif seluruh dunia Islam dan kanak-kanak 3 tahun yang dirujukkan tersebut adalah... anak saya, Darwisya Adrianna!

Dua video yang berbeza (satu daripadanya adalah www.tamilbayan.com) yang telah di olah  untuk menyesuaikannya untuk menjawab persoalan yang sedang panas ketika itu. Antara kata-kata yang tertulis..


WANT A PROOF OF WHAT ALLAH SWT SAID AND SHEIKH KHALID YASSIN CONFIRMED???
WELL LISTEN TO THIS:!!!

Diikuti oleh video bacaan Darwisya Surah Muhammad bermula dari ayat Innallah hayudkhilul.. yang bermaksud Sungguh! Allah akan memasukkan.. kemudian diakhiri dengan kata-kata berikut.

       YES, YOU POOR PASTOR,
THE QURAN IS PROTECTED BY GOD..
NOT IN PIECES OF PAPER, BUT IN THE HEARTS AND BRAINS OF MUSLIMS!!!
EVEN AN EXTREMELY YOUNG GIRL WHO CANNOT EVEN SPEAK ARABIC MEMORIZES IT BY HEART:)!!!
Saksikan kedua video youtube dibawah ini..







MasyaAllah! Rasa sangat terharu kerana Allah tunjukkan kepada saya, apa yang saya usahakan selama ini besar impaknya kepada dunia walaupun dalam cara yang tersendiri. Ia besar maknanya bagi saya. Bagi saya memang benarlah kata orang, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Ya Allah kau kuatkanlah lagi semangatku ini untuk mendidik anak-anakku ke jalanMu. Kau ramaikanlah lagi ibubapa yang diberi petunjuk dalam mendidik anak-anak mereka seperti mana Engkau tunjukki aku. Amiin. Semoga ianya juga membuka mata orang kafir bahawa biar berapa banyak al quran dibakar hingga tiada tinggal satu pun didunia ini, ia akan tetap wujud dalam dada para penghafaznya yang bertebaran di serata pelusuk bumi Allah ini.


*Peringatan : Hati-hati sekiranya menaip URL untuk ke blog ini dimana, jika tersalah tulis URLnya, diletakkan 'ps' dan bukannya 'sp' seperti di link ini, www.darwishndarwisya.blogpsot.com kita akan dibawa ke website Kristian dengan segala info tentang agama tersebut. Harap maklum bahawa nama sebenar website saya adalah www.darwishndarwisya.blogspot.com. Nama serupa, niat berbeza.  Satu lagi kebijaksanaan orang Kristian menyebarkan agama mereka..






Wednesday, October 20, 2010

Perbezaan Perkembangan Anak Lelaki Dan Anak Perempuan

Bercakap tentang perkembangan kanak-kanak, pembaca pasti tahu saya mempunyai seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Setelah mendidik mereka dengan cara yang sama, saya dapat melihat perbezaan keduanya yang begitu ketara. Adalah salah untuk meletakkan pencapaian/target yang sama pada anak-anak kerana setiap mereka adalah berbeza. Apa lagi kalau mereka memang dari jantina yang berbeza. Saya memang tahu akan fakta ini tetapi saya tetap meletakkan objektif yang lebih tinggi hanya kerana saya memulakan mengajar Darwish lebih awal dari Darwisya. Apapun itu jika saya membuat perbandingan antara kakak dan adik pada umur yang sama. Tetapi jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain, sudah tentu Darwish jauh pencapaiannya. Dia kini melancarkan huruf bersambung dan dalam buku terakhir al Furqan. Selepas habis buku ini dia akan boleh mula membaca quran.

Jika kakaknya, Darwisya, sudah boleh mula membaca walaupun merangkak pada umur 2 tahun 8 bulan dan mula belajar menghafaz, adiknya Darwish mungkin agak kebelakang sedikit. Ini kerana beberapa faktor yang saya rasa sinonim dengan kanak-kanak lelaki :

1) Lebih bermain
2) Buas
3) Tidak fokus
4) Tidak boleh duduk diam walau dimarah (tak takut)

Itu belum dicampur faktor semulajadi kebanyakkan mereka seperti lambat bercakap dan sebagainya. Darwish masih tidak boleh bercakap dengan sempurna. Contoh lorry disebut oo-ii dan robot disebut oo-bot. Itu bukan lagi perkataan lain yang boleh disebut tapi tidak jelas. Setiap hari saya melatihnya untuk menyebut dua perkataan ini tapi belum lagi berjaya nampaknya. Pentingnya menyebut lorry dan robot kerana jika berjaya, dia akan boleh menyebut perkataan 'Bismillahirrahmanirahim' dengan sempurna. Harapan saya tinggi supaya dia boleh menyebutnya sebelum dia memulakan hafazan secara serius seperti Kak Wisyanya. Namun, saya pasrah jika ianya tidak berlaku secepat seperti yang saya harapkan.

Apapun saya rasa ia adalah biasa untuk kanak-kanak tidak boleh menyebut perkataan tersebut dan ianya tidaklah sesuatu yang kekal hingga mereka dewasa. Satu hari dia akan boleh menyebutnya dan pada hari tersebut alquran akan disebut dari mulutnya dengan sempurna. Ia bukanlah penyebab untuk saya melengahkan langkah seterusnya (hafazan) jika dia sudah menghabiskan buku al furqannya nanti. Buat ketika ini pun dia sudah berjinak jinak untuk menghafal. Dibawah adalah bacaan Surah Al Fatihah, Surah An Nas dan sebahagian dari Surah Yassin dari anak lelaki saya yang berumur 2 tahun 7 bulan. Sekadar untuk berkongsi dengan para pembaca akan percakapannya yang belum jelas yang akan memberi kesan kepada kesempurnaan bacaan hafazannya tetapi yang ingin saya tekankan kepada para pembaca adalah walupun begitu, susunan dari satu ayat ke ayat yang lain sudah dalam keadaan teratur dan sempurna.


Semoga video ini dapat membuka mata kita akan kemampuan anak-anak kita walaupun mereka belum pandai bercakap dan seterusnya memberi mereka peluang untuk dididik sama seperti kanak-kanak lain yang nampak lebih sempurna pertuturan dari mereka.

Lihat perbezaan Darwish menghafaz Surah Yassin (hanya mendengar dan menghafaz sendiri) dan juga cara dia menghafaznya dengan bimbingan. Mengajarnya menghafaz surah yang sama adalah mudah kerana dia sudah biasa mendengarnya. Saya yakin perhatian kita sebagai ibubapa dalam membetulkan bacaan al quran anak kita boleh menjadi pengubat pelat untuk mana-mana kanak-kanak. Jika sebelum ini saya sebagai ibu tidak memahami kebanyakkan apa yang dituturkannya, selepas melatih menghafaz surah yang sama, perbezaan ketara dapat diperhatikan pada pertuturan harian.


SEBELUM : MENGHAFAZ HANYA DENGAN MENDENGAR









SELEPAS : MENGHAFAZ DENGAN BIMBINGAN













Ini pula, kakaknya yang telah pun melalui apa yang dilalui oleh adiknya.. Telah menghafal Juzuk Amma dan surah-surah pilihan (Al Waqiah, Ar Rahman, Al Mulk, As Sajadah)




Video-Video lain :

Darwish Membaca Surah Al A'la pada umur 3 Tahun :

Darwish Membaca Surah At Tariq pada umur 3 Tahun :




Darwish Membaca Surah Al Bayinnah pada umur 3 Tahun :




Darwish Membaca Surah At Tariq pada umur 3 Tahun :



Darwish Membaca Surah Al Buruj pada umur 3 Tahun :







Monday, September 20, 2010

Persekolahan Darwisya di International Modern Arabic School

Alhamdulillah hari pertama Darwisya masuk kesekolah pada hari semalam berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Seperti biasa, hari pertama ke sekolah untuk kanak-kanak tahap tadika ini ada yang tak mahu masuk kelas, ada yang menangis hendak bersama ibunya, ada yang masuk, duduk dan keluar balik kejar ibunya dan sebagainya. Mungkin Darwsiya pernah saya sekolahkan untuk beberapa bulan di sebuah sekolah tadika biasa yang berdekatan sebelum ini menyebabkan dia boleh menerima untuk saya tinggalkan tanpa sebarang masalah. Sebelum saya meninggalkan Darwisya, ada juga saya menunggu dalam 1 jam memerhatikan dia boleh atau tidak ditinggalkan dan saya perhatikan dia memang kelihatan agak janggal kerana kawan2 nya mempunyai 'rupa dan bahasa percakapan' yang berlainan dari kawannya yang biasa. Dia kelihatan diam dan lebih banyak memerhati kawan-kawannya. Saya harap situasi ini tidak kekal lama dan menganggapnya perkara biasa untuk mana-mana kanak-kanak ke sekolah pada hari pertama mereka.


Semakan nama kanak-kanak yang baru datang untuk mendaftar masuk kelas.


Morning Assembly, Kanak-kanak berkumpul untuk diberi kata-kata nasihat dan menyanyi bersama sama dengan guru mereka. Lagu yang mereka nyanyikan pada ketika saya disana berjudul 'Sabahul Khair' yang bermaksud 'Selamat Pagi'


Satu identiti yang saya perhatikan tentang anak orang Arab ni, selain hidung yang mancung, mereka ni rupanya kebanyakkannya berambut kerinting. Kenalah dengan anak saya tu..  Semasa anak buah saya mendaftar masuk sekolah Cina, identiti rambut mereka, semuanya lurus lurus belaka..

Kawan baik Darwisya yang duduk disebelah Darwisya dalam kelas.



.




Rasanya ni Timetable tahun lepas untuk program kindergarten mereka kerana kelihatan agak lusuh. Saya ada bertanya tentang timetable tahun ini tapi mereka berkata belum print lagi..




Aktiviti bermain di playground yang di awasi oleh guru mereka..




Darwish join sekali.. Dia ni lain sedikit dari Darwisya yang nampak agak janggal pada hari pertama. Hari pertama terus dapat kawan dan bermain bersama. Macam dia pula yang dihantar ke sekolah. Satu perkara yang saya perhatikan, anak anak Arab ni ialah mereka agak kasar ketika bermain. Saya pernah dengar bahawa cara mereka bergurau adalah sama seperti cara kita sedang bergaduh. Namun tak semualah yang seperti itu. Jadi untuk bersama bermain dengan mereka, Darwish kena jadi tough!



Kalau tak kuat hati tahan sabar, saya dah angkat Darwish tu siang-siang kerana takut dia cedera bermain dengan yang lebih besar.. Tapi terfikir juga mungkin kalau saya nak angkat pun dia tak mahu kerana ingin terus bermain..

** Update : Alhamdulillah.. Just want to share Darwsiya's first semester exam result in International Modern Arabic School. All A's. 4 subjects with 100% marks prove that when a child master the quran learning, she can excel in any subject even in foreign language school that is not her mother tongue language. In fact, she is the best in class. Hope this will change people's perception that teaching quran will make the children go no where in school.





Sedutan dari Morning Assembly di sekolah baru Darwisya. Siapa nak dengar macam mana nak nyanyi lagu arab judul 'Sabahul Khair', boleh klik youtube dibawah..





Off topic kejap... sebelum Darwisya ke sekolah pada hari semalam, saya ke Tesco untuk membeli barang keperluan ke sekolah seperti bekas makan, tempat air, bekas pensil, pensil warna baru selain dari keperluan harian baru baru ini. Setelah bershopping, turun dari escalator menghala ke food court ada sebuah gerai sementara kelihatannya yang dihiasi dengan belon yang banyak. Seorang wanita menghampiri saya selepas melihat barangan yang saya bawa di dalam troli dan bertanyakan resit Tesco saya. Dia menerangkan bahawa untuk pembelian RM50 keatas, percuma tangkapan gambar untuk kanak-kanak berusia 8 tahun kebawah dan berpeluang menyertai peraduan 'Si Manja Comel' (kalau tak silap saya inilah temanya) dengan syarat gambar anak saya dipaparkan di banner mereka. Sekadar suka-suka, lagi pun free pulak tu, saya suruh Darwisya ke platform untuk diambil gambar. Masuk Peraduan? Ohh.. tidak, kerana saya sekadar suka-suka.. Pandai sungguh dia menyuruh kanak-kanak melakukan gaya. Mungkin sebab mereka sudah bergelah profesional gaknye. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai peraduan yang hadiahnya agak lumayan juga ni, serta mendapat peluang mengambil gambar anak sendiri oleh jurugambar profesional, bolehlah datang ke Tesco Shah Alam. Peraduan tutup pada 29 September bulan ini. Datanglah beramai-ramai.. (Nampaknye ni promosi free untuk Tesco Shah Alam ni). Dibawah adalah 2 foto Darwisya hasil sentuhan profesional mereka..



Emm.. Sebenarnya yang dia pegang kat tangan kanan tu kononnya magic wand. Tapi terpeleotlah pulak..


Sekali pandang macam sedang menari.. tapi sebenarnye dok atas platform macam orang keras je. 


Di bawah ni pula 5 foto Adiknya Darwish Adrian..

Mama dah janji kalau ngaji dapat naik mesin yang guna coin tu kan?


Tapi nape kita kena tangkap gambar dulu? Alahai...

Lepas ambil gambar ni kita pergi ye..
Mama, the hat is too big for me!

Ok, I'm done! Lets go..








Thursday, September 9, 2010

Menziarahi Pusara Sebelum Keesokkan Berhari Raya


Darwisya menyiram air di atas pusara atuk sambil darwish berada disisi.

Hari ini adalah hari penutup Ramadhan. Seperti kebiasaan tahun-tahun lepas, kami anak beranak ke pusara arwah bapa saya sebelum berhari raya keesokkan harinya. Tanpa saya sedari kali ini yang membaca Yassin dan Tahlil bukan hanya kami berdua suami isteri seperti tahun-tahun lepas, tetapi nampaknya ada suara kecil yang mengikuti bacaan kami. Itulah Darwisya.. dan semoga untuk tahun depan, satu suara kecil kedua (Darwish) akan mengikuti kami juga untuk membaca Yassin dan tahlil di pusara arwah bapa saya.

Pertengahan Ramadhan kali ini saya bermimpi berjumpa arwah bapa saya yang telah meninggal. Mimpi yang sangat saya mahukan dari semenjak dia meninggalkan saya adik beradik beserta ibu kami semenjak 13 tahun lalu. Namun saya tidak pernah bermimpi hinggalah Ramadhan kali ini. Alhamdulillah, walaupun ianya hanya mimpi, saya dapat memeluk erat dan meluahkan perasaan rindu saya pada bapa saya. Menziarah ke pusaranya kali ini membuatkan saya lebih terharu daripada selalu.. Semoga Allah mencucuri rahmatnya.. Al Fatihah.

Kepada pembaca blog, saya ucapkan Selamat Hari Raya dan semoga Amalan/Ibadah yang kita rutinkan dalam bulan Ramadhan dapat dibiasakan seterusnya selepas bulan Ramadhan berlalu.

Sekadar berkongsi dengan para pembaca, dalam kita berseronok membuat persiapan hari raya esok hari, peruntukkanlah sedikit masa untuk memanjatkan doa pada malam ini kerana malam ini, malam Aidilfitri adalah antara 5 malam yang dikabulkan doa dalam setahun. Apa lagi ditambah dengan malam ini adalah malam Jumaat. Dua malam yang istimewa bertindan antara satu sama lain.


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Hari Raya Haji, malam Hari Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.(Riwayat al-Baihaqi).

Berkata Imam Shafie di dalam kitabnya al-Umm:

Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Hari Raya Haji, malam Hari Raya Puasa, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.


Semoga kita antara orang yang mengambil kesempatan pada malam yang penuh curahan kebajikan dari Allah S.W.T dengan memanjatkan doa untuk kejayaan diri, keluarga, anak-anak serta orang tersayang yang telah tiada. InsyaAllah ia akan dimakbulkan. Semoga kita tidak disibukkan dengan persiapan menyambut hari raya esok siang hingga terlepas peluang yang ada. Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin dari saya, suami, Darwisya Adrianna dan Darwish Adrian.








Sunday, September 5, 2010

Majlis Khatam Quran Kumpulan Tadarus Ramadhan di Surau Kami

Malam ini malam yang ke 27 dalam bulan Ramadhan. Terasa sedih Ramadhan hampir meninggalkan kita. Seperti yang saya katakan, Ramadhan kali ini amat bermakna kerana ia adalah pertama kali saya bertarawih dgn kedua anak saya. Alhamdulillah, tiada apa yang mendorong mereka selain dari hidayah Allah. Mereka tidak pernah meninggalkan tarawih walaupun mereka boleh membuat pilihan tidak mengikut dan menonton tv dirumah jika mereka mahu. Walaupun mereka berdua beradik hanya duduk ditepi, hanya mendengar dan memerhati sahaja, banyak perkara yang mereka pelajari disurau. Sememangnya kita tahu kanak-kanak banyak dan cepat belajar dengan cara begini. Antara hikmah membawa anak2 saya ke surau adalah :

  1. Mereka telah dibiasakan hampir sebulan cara untuk berada didalam surau dalam keadaan berhemah. 
  2.  Tidak keluar sewaktu saya bersolat untuk bersama dengan kanak-kanak lain yang kedengaran meriah membuat bising, bermain mercun dsb diluar surau. 
  3. Kedua beradik tahu untuk mengangkat tangan untuk meng'amin'kan doa setiap kali imam membaca doa
  4. Kedua beradik tahu lagu zikir yang dibawa oleh imam selepas selesai solat witir. Ia telahpun menjadi ikutan mereka.
  5. Kedua beradik diperdengarkan dengan ayat -ayat suci al quran yang sudah biasa dan yang tidak pernah mereka dengar yang dibacakan oleh imam  secara 'live' sepanjang bertarawih di surau. 

Malam ini tarawih di surau kami berlainan sedikit kerana kebiasaannya selepas tarawih akan diadakan tahalil tapi kali ini acara khatam quran bagi kumpulan qari dan qariah yang bertadarus semenjak awal Ramadhan telah diadakan. Selepas Tarawih kami bersama meraikan dengan membaca dari surah Ad Dhuha hinggalah helaian pertama Surah Al Baqarah. Dan yang menyeronokkan kedua beradik ini surah-surah tersebut adalah surah yang sangat biasa bagi mereka. Kebetulan anak-anak saya sahaja yang 'kanak-kanak' dalam majlis tersebut. Selepas membaca, bunga telur pun diedarkan seorang satu. Ada beberapa makcik makcik yang memberi bunga telur kepunyaan mereka kepada Darwish dan Darwisya menyebabkan akhirnya kami membawa balik banyak bunga telur. Ada 8 bunga telur semuanya. Anak saya pula mengambilnya dengan selamba pula tu. Nampaknya besok boleh buat masak kicaplah untuk mereka. Haha.. Seperti biasa, pertanyaan mereka selepas itu, anak saya membaca ke menghafal, anak saya mula diajar umur berapa, saya mengaji selalu ke ketika mengandungkan mereka.

Apapun saya harap tidak lama lagi trend kanak-kanak di majlis tadarus akan menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Saya juga membuat kesimpulan, banyak hikmahnya jika kita mendekatkan anak-anak kita ke surau atau masjid. Jika ada peluang untuk kita membawa mereka, bawalah kerana banyak perkara yang mereka boleh pelajari.. Walaupun mereka hanya duduk ditepi bermain antara satu sama lain (dalam keadaan terkawal).





Yess.. this is mine! 





Bunga je yang ada, telurnya dah dimakan. Malam dapat bunga telur ni, 2 biji terus di makan Darwish. Oleh kerana saya lambat buka, telur yang pertama, dia makan dengan kulit-kulit telurnya sekali! Mujur sempat keluarkan kulit telur tersebut.



Sebahagian Bunga telur yang dipegang oleh Darwisya. Tidak seperti kepunyaan Darwish, telurnya masih ada lagi..



Bunga telur pilihan Darwisya..PINK. Darwisya memang taksub dengan warna pink. Dia taknak warna lain..



Peganglah sementara boleh, pasal besok mama nak kopek masuk dalam kuali!

Tips: Saya bawa Lego dalam jumlah yang kecil untuk mereka bermain. Boleh juga bawa buku mewarna atau apa2 yang tidak mengeluarkan bunyi bising.









Sunday, August 29, 2010

Puasa, Tarawih dan Memburu Lailatul Qadar

Sungguh cepat masa berlalu. Rasanya baru saja puasa bermula dan pada ketika saya menulis ini, ia sudah pun ke 1/3 terakhir Ramadhan.

Puasa tahun ini adalah puasa yang sangat bermakna bagi saya kerana ia adalah puasa dimana saya 'diizinkan' untuk bertarawih berjamaah semenjak sudah lama tidak melakukanya kerana anak kecil yang agak berdekatan antara yang pertama dan yang kedua.

Bagi anak-anak saya, Darwisya dan Darwish pula, nampaknya dengan adanya solat tarawih di surau, menceriakan mereka setiap malam. Tidak terfikir pada saya untuk membawa mereka ke surau untuk solat tarawih sehinggalah Darwisya mendesak saya untuk membawa dia dan adiknya. Saya beri syarat pada kedua anak saya... "If you want to go, first, dont make noise, second, dont be naughty and respect people who solat. If u dont stay that way, mama 'bob' (kena tangan)!" Saya duduk disaf paling belakang kerana takut anak saya mengganggu orang lain. (supaya senang keluar kalau keadaan tak terkawal). Alhamdulillah, mereka berkelakuan baik.

Dari malam pertama,  kami akan tiba di pintu surau lebih kurang pukul 8.00-8.15 malam, iaitu selepas sahaja saya berbuka puasa dan bersolat maghrib. Saya datang awal kerana akan mengajar mengaji kedua anak saya ini di surau hinggalah azan Isya' berkumandang. Saya tidak mahu memecahkan tradisi mengaji selepas Maghrib untuk kedua anak saya lebih-lebih lagi di bulan puasa yang penuh rahmat ini. Balik surau pun sudah jam 10.30 malam, mata mereka pun dah mengantuk dan boleh terus masuk tidur. Pertama kali ke surau bertarawih, saya bertanya apa perasaan Darwisya untuk pengalamannya. Almaklumlah dua jam setengah kena berada dalam keadaan berdisiplin. (nak tanya Darwish, dia kecil lagi). Agak memeranjatkan saya bila dia menjawab.. I like the 'Surau Party!'. Telah beberapa kali saya memberitahu ia adalah Solat Tarawih, selepas beberapa hari jika soalan yang sama diajukan dia masih akan berkata 'Yes, I like Solat Tarawih and Surau Party Mama' Satu jawapan yang tidak saya sangka akan keluar dari mulutnya. Tidak molek untuk didengar tetapi saya fikir biarkan kerana dia masih kanak-kanak lagi. Entah apa yang difikirkan dalam fikirannya. Mungkin tahun depan dia akan agak lebih matang. Selepas dari hari pertama itu, anak -anak saya tidak pernah mahu ditinggalkan untuk ke surau bertarawih berjemaah setiap malam kecuali beberapa hari kerana sebab yang tidak dapat dielakkan.


Berhenti sebentar untuk bergambar dalam perjalanan ke surau. Setiap kali Darwish berpakaian ala 'tentera' seperti diatas, dia akan bertukar muka 'garang' nya. Dari mana dia belajar tu tak taulah saya.. 


Nampaknya saya akan bertarawih bersama anak-anak saya mulai tahun ini hinggalah ke tahun tahun seterusnya, InsyaAllah. Saya juga pernah berbincang dengan suami, bila Darwish sudah berumur 3-4 tahun nanti, dia perlu tahu tempatnya sepatutnya dengan jemaah lelaki dan bukan lagi dengan jemaah perempuan seperti keadaan sekarang. Bila tiba masanya boy ikut papa, girl ikut mama.


Malam ini kami anak beranak akan bertarawih lagi dan malam ini adalah malam pertama dalam sepuluh terakhir Ramadhan. Pagi tadi saya menonton rancangan 'Tanyalah Ustaz', dimana tajuk kali ini adalah Lailatul Qadar. Banyak kupasan tentang hari misteri dan istimewa tersebut. Malam dimana dijanjikan akan turunnya Lailatul Qadar, khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. Ia juga dinamakan malam seribu bulan dimana segala kebaikkan amalan akan digandakan 1000 bulan atau 84 tahun, 4 bulan.

Dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Antara kehebatan Lailatul Qadar :




Pada malam Lailatul Qadar, turunnya para Malaikat termasuk Jibrail as


Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan :

1. Peminum arak,
2. Penderhaka ibu bapa,
3. Pemutus siltarurrahmi dan
4. Individu yang sedang bermusuhan.


Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.


Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Marilah kita sama-sama memburu lailatul qadar. Semoga malaikat mengaminkan apa yang kita pohon iaitu kejayaan diri, anak-anak dan keluarga, di dunia dan akhirat. Tidak lupa juga kesejahteraan dan kejayaan umat Islam seluruh dunia yang sedang sangat hebat ditindas. Insya Allah ia akan dimakbulkan..








Friday, August 27, 2010

2 Kaedah Menghafal Yang Berbeza untuk Darwisya

Ada juga yang perasan tentang saya memberi 2 posting kaedah menghafal yang berbeza yang saya gunakan untuk anak saya dalam blog ini hingga jadi keliru. Itu tandanya ada yang sudah mempraktikkannya pada anak sendiri. Alhamdulillah, bertambah saham saya..


Memang betul saya guna kaedah al huffaz semasa melatih Darwisya menghafal 30 surah pertama. Ia adalah satu kaedah yang baik untuk kanak kanak yang baru mula belajar menghafal. Jika mereka dah dapat skill menghafal 30 surah terakhir tu, buku al huffaz tidak perlu digunakan lagi. Seterusnya boleh guna alquran sahaja. Hinggalah satu hari skill ini semakin tajam sehingga mereka boleh menghafal satu muka surat dalam beberapa minit sahaja. Menghafal dan mengingat ini adalah satu kemahiran pada kanak-kanak yang boleh diasah.


Walaupun dulu saya menggunakan buku al huffaz dan kini tidak, memperdengarkan bacaan melalui CD tetap sama. Semasa 30 surah pertama, saya mengalunkan bacaan adik Ahmad Saud, selepas khatam 30 surah, untuk surah lain saya mengalunkan bacaan Sheikh Misyari Rashid Al Afasy. Ini adalah kerana Adik Ahmad Saud tiada punya bacaan surah-surah lain selain 30 surah terakhir tersebut. Apa pun caranya tetap sama untuk melatih kanak-kanak menghafal.. MENDENGAR, MEMBACA sehingga lancar, dan kemudian baru MENGHAFAL.


**Ini adalah Kaedah yang saya gunakan pada pertama kali pada Darwisya. Selepas itu adalah sedikit perubahan sana-sini apabila mengaplikasikannya pada Darwish kerana anak lelaki dan anak perempuan tidak sama cara belajarnya.Untuk mengetahui lebih terperinci akan kaedah yang saya gunapakai, saya ada melakukan kursus untuk ibu-ibu yang berminat.. Untuk maklumat lanjut, sila lawat








Wednesday, August 25, 2010

Membantu Kanak-kanak Menghafal Surah2 Penting dan Panjang Dalam Al Quran


Dalam membantu anak kita untuk mudah mengingati apa-apa surah yang akan dihafalnya, cara saya tetap sama samada untuk surah pendek atau surah panjang. Mulakan dengan membiasakan anak dengan MENDENGAR surah tersebut yang dibaca oleh qari yang kita sendiri suka akan lagu bacaannya. Jadikan bacaan qari tersebut sebagai teman tidur dan teman perjalanan anak kita. InsyaAllah, mudahlah untuk mereka menghafal sesuatu yang telah biasa didengar berulang kali. Kemudian, baru ajar MEMBACA surah tersebut. Ajar hingga dia boleh MEMBACA dengan LANCAR/tiada kesalahan. Kemudian, baru suruh anak MENGHAFAL. Selalunya Darwisya dapat menghafal  sehari dua selepas dia dapat membaca mana-mana surah dengan lancar samada surah panjang atau pendek.

Untuk diri saya, qari yang menyentuh hati saya adalah Qari dari Kuwait, Shaykh Mishary Rashid Ghareeb Mohammed Rashid Al-Afasy. Mencari CD yang jelas bacaannya dipasaran agak sukar mungkin kerana telah di ulang salin/dubbing beberapa kali hingga bacaannya bergaung dan kurang jelas. Maka, jika qari ini juga kegemaran pembaca, cara terbaik untuk mendapatkan bacaan yang jelas dan berkualiti adalah

1. Beli CD-R kosong (yang paling murah harga 70sen sekeping)
2. Pergi ke http://www.muslimtents.com/alafasy/
3. Pilih surah yang dikehendaki (free download yang dibenarkan). Setiap surah semasa kita download akan ada tercatit panjang masa surah tersebut. Jumlah masa dalam 1 CD-R adalah lebih kurang 70-80 minit sahaja.
4. Untuk memindahkan download ke CD-R, pilih 'audio data' (for car and other general radio)
5. Dah siap..


Sebelum menidurkan anak, CD tersebut akan dipasang dengan perlahan di radio dan tekan mode 'repeat'. Ia akan 'mengaji' untuk anak kita sehingga dia terlena dan diteruskan hingga esok pagi. Pastikan volume perlahan(kalau kuat anak tak boleh tidur pula). Kita boleh pilih samada untuk diulang repeat satu surah sahaja atau atau diulang bacaan satu CD tersebut.


Untuk di dalam kereta, saya letakkan CD surah yang telah dihafalnya supaya dia tidak lupa apa yang dihafalnya sebelum ini. Ini memastikan hafalan yang lepas terus kekal. Jika bila-bila masa saya membawa anak berjalan, ayat yang terhafal terdahulu yang akan saya pasang untuk mereka sepanjang perjalanan. Siaran radio atau CD lain hanya akan saya buka jika saya berseorangan memandu.


Mencorak anak-anak dalam pendidikan, akhlak, sahsiah diri bermula dari rumah, dari kita sebagai ibu dan bapa. Ia bukan bermula di sekolah atau tadika.


Memang ada tadika mahal dan tadika sederhana bayarannya tetapi semuanya sama iaitu mengajar kanak-kanak dalam bilangan ramai dan dalam masa yang serentak! Sedangkan setiap kanak-kanak itu adalah berlainan. Tiada guru yang boleh menandingi seorang ibu yang mengajar anaknya satu persatu dengan sabar hinggalah anak tersebut faham.

Bagi saya, adalah salah untuk melihat wang semata-mata boleh membeli pendidikan dan menjamin anak tersebut menjadi seorang yang terdidik dan berjaya. Kita ambil kisah daripada Imam Shafie. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang fakir di Palestin. Bapanya meninggal dunia ketika beliau berumur 2 tahun. Ibunya adalah seorang yang gigih dalam mendidik anaknya. Tiada tadika murah, sederhana atau mahal bagi ibu Imam Shafie, Hanya kegigihan beliau untuk mendidik anaknya hingga anaknya dapat menghafaz quran pada umurnya 7 tahun. Kemudian Imam Shafie berguru dengan beberapa ulama terkenal hinggalah beliau menjadi orang yang dikenali dengan kebijaksanaan ilmunya sehingga Mufti Mekah mengizinkan beliau memberi fatwa ketika masih berusia 15 tahun!

Saya bersyukur kerana diberi Allah rezeki dan petunjuk untuk menghantar anak saya ke tadika Arab. Namun saya tetap tekankan kejayaan anak tetap bermula dari rumah. Darwisya ke tadika atau tidak, dan tadika tersebut arab atau bukan arab, dia tetap akan mengaji dan menghafal di rumah.








Monday, August 23, 2010

Darwisya Mendaftar ke International Modern Arabic School, KL

Semakin banyak maklumat dari rakan2, forum internet, dan sebagainya tentang tadika tadika yang pernah mereka ketahui, saya menjadi semakin keliru dalam membuat keputusan. Memang niat saya telah tertanam lama untuk mengembangkan pengetahuan bahasa Arab pada anak-anak saya menjadi asas dalam saya mencari tadika yang sesuai kerana ia adalah sesuatu yang saya gagal lakukan sendiri. Namun dalam banyak2 pilihan, untuk tujuan ini pilihannya adalah terhad.

Betapa indahnya jika anak saya dapat menghayati setiap ayat yang di hafalnya setiap hari. Tentu lebih kekhusyukkan dan keseronokkan menghafal akan timbul apalagi jika semakin hari semakin banyak yang dihafalnya. Sekarang Darwisya sudah hampir habis menghafal surah-surah penting iaitu Surah Yassin, Al Mulk, Ar Rahman, As Sajadah, Al Waqiah dalam usianya yang belum lagi 4 tahun.

Allah mengetahui niat saya yang tersangat kuat hingga satu hari saya ditakdirkan berjumpa dengan satu website Program Kindergarten di International Modern Arabic School, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.
Terus terdetik rasa tertarik di hati dengan info ini..




"International Modern Arabic School, The First Fully Intergrated Arabic School in Malaysia".


 Rasa syukur yang tidak terhingga kerana akhirnya timbul juga maklumat tentang sekolah yang saya cari walaupun sekadar di atas skrin komputer. Maaf kerana tidak dapat berkongsi dengan pembaca kerana selepas 3 hari berturut-turut saya keluar masuk website tersebut, hari ke 4  ia pun hilang! Mungkin web hostingnya expired. (http://www.imasmalaysia.com) Untuk menjadikan cerita ini lebih pelik lagi, saya pergi ke sekolah tersebut, untuk saja melawat dan bertanya tentang syarat kemasukkan, kelayakkan umur, yuran dan sebagainya. Tentu saja dalam fikiran saya, ianya untuk persekolahan Darwisya Januari 2011 nanti dimana Oktober ini umurnya baru akan mencecah 4 tahun. Sekali lagi saya terkejut bila diberitahu sesi persekolahan adalah bermula pada bulan September dan tarikh tutup untuk mendaftar adalah 7 hari lagi !

Alhamdulillah, Darwisya telah mendaftar masuk walaupun tidak cukup umur beberapa bulan dari umur kelayakkan sekolah tersebut. Dia telah mendaftar sebagai pelajar Kindergarten KG1 dan akan mula bersekolah pada bulan  September ini. Sekarang sekolah tersebut sedang bercuti musim panas. (Saya di beritahu kebanyakkan International School mempunyai cuti yang sama)

Untuk pengetahuan, sukatan pelajarannya adalah mengikut kurikulum International Cambridge (UK) bagi subjek Matematik, Sains dan English. Seorang ibu yang juga guru sekolah kerajaan, mendaftar untuk anaknya di sekolah itu menyatakan pada saya, bagusnya curriculum mereka adalah matematik untuk anak umur 6 tahun sudah diajar subjek multiply atau pendaraban.

Subjek lain selain dari subjek diatas seperti Social Religion, Hadith, Quran, Arabic Language diajar dalam Bahasa Arab. Sewaktu saya melawat sekolah tersebut, hanya puan ini (guru sekolah kerajaan yg mendaftarkan untuk anaknya) ini sahajalah yang berbangsa Melayu, yang lainnya adalah orang Arab (pengunjung). Petugasnya dari bahagian Admin hingga ke Finance juga adalah orang-orang Arab.

Mengikut data 2009 sekolah ini, jumlah bilangan pelajar keseluruhannya adalah seramai 528 orang. Manakala tenaga pengajarnya seramai 63 orang dengan 18 orang guru lelaki dan 45 orang guru perempuan. Ini bermakna ratio yang baik 1 guru : 10 murid. Para pelajarnya juga terdiri daripada pelbagai negara seperti Palestin, Iran, Iraq, Yaman, Urdu, Bosnia, Malaysia, Singapura dan sebagainya.

Sewaktu saya mendaftarkan Darwisya, saya diberitahu dalam kelas Darwisya nanti 80% kanak-kanaknya adalah dari negara Arab yang boleh bertutur dalam Bahasa Arab. Hanya 20% sahaja yang tidak boleh berbahasa Arab (Malaysia, Singapura dll). Anak saya dalam 20% inilah nampaknya. Guru-gurunya adalah dari negara Arab kebanyakkannya dan ada yang dari Singapura (mungkin guru untuk subjek matematik atau English). Kesimpulannya, bagi saya, inilah tempat terbaik untuk darwisya belajar berBahasa Arab dengan keadaan sekeliling, kawan-kawan dan guru yang sentiasa akan berbahasa Arab dengannya.


Satu gambar yang saya ambil dari satu website tentang lawatan ahli World Assembly of Muslim Youth Malaysia (WAMY) ke International Modern Arabic School (IMAS). Gambar ini mungkin sedikit sebanyak dapat menggambarkan kepada pembaca blog saya tentang pelajar, gurunya serta keadaan di sekolah tersebut.





Sekolah ini juga mengadakan Pertandingan hafazan al Quran yang disertai oleh sekolah-sekolah agama sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Untuk tahun 2009, seorang pelajar dari sebuah sekolah tempatan, Sekolah Agama ADNI, Kuala Lumpur telah memenanginya. Emm.. tuan rumah tak menang apa-apa. Untuk pengetahuan, usia sekolah ini baru 2 tahun, mungkin tak sempat nak latih pelajarnya lagi.. Ia juga pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan sekolah Expatriat Arab Saudi, yang terletak di kedutaan Arab Saudi Kuala Lumpur.

Ia mungkin bukan sekolah yang sempurna dari segala segi tetapi bagi saya ia telah memenuhi apa yang saya cari. Semoga Darwisya punya ramai kawan dan seronok belajar disana.






















Tadika Darwisya yang terpisah dari bangunan sekolah rasminya.









Bergambar di pintu gerbang sekolah. InsyaAllah tahun depan Darwish boleh sekolah sama Kak Wisya ye..











Rasanya pihak sekolah kena tukar signboard yang baru ni..








Mendaftar di tadika Arab yang bakal menjadi sekolah Darwisya tidak lama lagi membuatkan saya terimbas kembali waktu melawat tadika di sebuah kawasan elit bandar Alexandria, Mesir, dimana disana kanak-kanak diajar 3 bahasa (Arab, Peranchis dan English). Bayangkan saya pergi melancong negeri orang untuk melawat tadika! Seronoknya saya hingga saya berangan jikalah tadika sepertinya berada di Malaysia. Hikmah dari lawatan tersebut menyebabkan saya memasang impian untuk mengajar 3 bahasa kepada anak saya di zaman kanak-kanaknya lagi (Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Arab). Dan kini ianya semakin menjadi kenyataan. Mengikut kata pakar, otak kanak-kanak berada dalam keadaan terbaik dan lidah mereka masih lembut menyebabkan mudah untuk mereka menyerap bahasa bahasa yang didedahkan dan menguasainya beserta linggo bahasanya seolah-olah mereka dari rumpun bangsa bahasa tersebut jika didedahkan dengan penutur asal dari bangsa bahasa tersebut. Sebagai mengimbas kenangan, dibawah adalah gambar kami melawat tadika tersebut yang terletak di Alexandria, Mesir.











Band mengalukan kedatangan kami serta mereka yang lain sebelum menyaksikan Pyramid Light Show







Darwisya bermain buai di sebuah tadika di Alexandria, Mesir sambil diperhatikan oleh pelajar tadikanya. Yang tolong buai tu, pembantu saya. Dialah yang menjaga Darwisya ketika saya keluar bekerja.










Dua guru Arab dalam satu kelas melakukan aktiviti bersama














Sand pit untuk kanak-kanak bermain dibawah pengawasan guru mereka




























Jalan masuk ke sebuah Taman Bunga di Alexandria. Kenal deretan pokok ditepi jalan tu?











Darwisya di sebuah hotel tepi laut, Alexandria
















Darwisya di tepian pantai Alexandria. Sejuuuuk...



















Bergambar di Lobby Hotel Alexandria












Darwisya bergambar dengan kanak-kanak sekolah yang datang membuat lawatan ke Masjid bersejarah.














 Pintu masuk ke Makam Imam Shafie















Darwisya bermain pasir padang pasir. Biarkan dia main..





























 Berlari di lapangan depan Muzium Kaherah yang menempatkan banyak mumia firaun yang diawetkan. Satu perasaan timbul selepas melawat mumia2 tersebut. Tidak kiralah satu dunia pun kekayaan mereka, bila sudah tidak bernyawa.. sedih juga keadaannya.




Berbalik dalam faktor kemampuan dalam memilih sekolah tadika seperti yang saya sebutkan dalam entri sebelum ini, keterbatasan saya adalah dari segi jarak dan masa dalam menghantar darwisya ke sekolah yang telah saya pilih ini. Sekolah tersebut terletak jauh dan mengambil masa sejam pergi dan sejam balik untuk menghantar. Secara keseluruhannya, saya perlu mampu menghabiskan masa 4 jam di jalanraya setiap hari dari Isnin-Jumaat menghantarnya. Atau cara lain adalah dengan berpindah. Dengan pilihan rumah di kawasan elit bandar KL ini (Bukit Tunku dan Kenny Hills) yang agak kecil dan mahal, menyebabkan saya enggan berpindah. Maka keterbatasan masa menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjual sebahagian besar pegangan saya dalam syarikat saya kepada orang lain. Ini membolehkan saya mengurangkan masa menguruskan perniagaan dan lebih masa menguruskan persekolahan anak saya nanti. Kini peranan saya dalam syarikat lebih kepada konsultan dan tidak lagi terlibat sepenuhnya dalam pengurusannya. InsyaAllah minggu ini saya ke pejabat peguam untuk urusan ini. Memang sukar untuk melepaskan perniagaan yang telah terbina hampir 10 tahun lalu tetapi dalam hidup kita perlu tahu memilih mana yang utama. Saya melepaskan SAHAM DUNIA perniagaan saya untuk melabur dalam SAHAM AKHIRAT saya.



Dibawah adalah presentation terakhir saya yang diadakan di bilik mesyuarat menteri di Putrajaya awal bulan ini. Saya titipkan sebagai kenang-kenangan untuk diri saya sendiri sebelum saya melepaskan sebahagian besar pegangan saham perniagaan saya kepada orang lain. Semoga perniagaan tersebut terus maju dengan peneraju baru dan kehadiran saya yang hanya sebagai pemegang minoriti.










Dapatkan Tip-Tip Kaedah Mengajar Bayi terus kepada emel anda. Sila isi borang dibawah, klik 'setuju' dan saya akan emelkan nasihat, tip dan info terkini. InsyaAllah.
Nama Panggilan
Emel